Wednesday, December 13, 2017
Top Tab Content

Sejarah Sekolah

Sejarah penubuhan SMK Bengkongan bermula sekitar tahun 1997. Pada awal penubuhannya, SMK Bengkongan merupakan satu cawangan daripada SMK Kota Marudu. Gagasan penubuhan cawangan ini telah diutarakan oleh pengetua SMK Kota Marudu ketika itu iaitu Tuan Haji Abu Bakar Siman. Satu rundingan telah dibuat bersama dengan guru besar SK Bengkongan iaitu Encik Anuar Ahmad Zabair Bin Raden. Tujuan utama penubuhan cawangan ini adalah bagi menampung lebihan pelajar yang bersekolah di SMK Kota Marudu ketika itu. Ini kerana terdapat lebih daripada 1000 orang pelajar yang bersekolah pada sesi petang sahaja. Apatah lagi pada waktu itu, hanya SMK Kota Marudu sahaja yang menjadi tumpuan seluruh pelajar untuk menimba ilmu.

Gagasan ini akhirnya berhasil apabila guru besar SK Bengkongan bersetuju untuk berkongsi bangunan dengan cawangan SMK Kota Marudu. Akhirnya pada 10 Mac 1997, bermulalah era pengajaran dan pembelajaran di cawangan sekolah tersebut. Pelajar yang terlibat merupakan pelajar tingkatan satu dan dua yang tidak dapat dimuatkan di SMK Kota Marudu. Pelajar-pelajar berkenaan merupakan pelajar yang tinggal berhampiran dengan sekolah SK Bengkongan iaitu bermula dari SK Langkon, SK Mangin, SK Bintasan, SK Tigaman, SK Sampir dan SK Teringai. Cawangan ini menumpang di bangunan SK Bengkongan yang pada ketika itu hanya mempunyai tiga buah bangunan sahaja. Guru-guru SMK Bengkongan pada waktu itu terpaksa berkongsi bilik dan meja dengan guru-guru SK Bnegkongan.

Pada awal penubuhannya, SMK Bengkongan pernah diterajui oleh tiga penyelia petang iaitu Encik Rutil Taising (bertugas selama satu minggu sahaja), Encik Lim Sui Yin (bertugas selama empat bulan sahaja) dan Encik Ramli Amat (mula bertugas pada pertengahan bulan Julai 1997 hingga penghujung tahun 1998). Tenaga pengajar yang terlibat pada waktu itu merupakan guru-guru dari SMK Kota Marudu yang telah dipindahkan ke cawangan tersebut. Jumlah tenaga pengajar pada waktu adalah seramai 17 orang dan jumlah ini berkurangan disebabkan ada di antara guru-guru yang berpindah, melanjutkan pelajaran serta mendapat pekerjaan lain. Ini kerana kebanyakan guru yang mengajar di SMK Bengkongan pada waktu itu merupakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Bilangan pelajar pada ketika itu adalah seramai 180 orang dan ditempatkan di enam buah kelas iaitu tiga kelas tingkatan satu dan tiga kelas tingkatan dua. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran tetap juga diteruskan.

Pada tahun 1998, berlaku sedikit perubahan fizikal pada wajah SMK Bengkongan yang mana sebuah bangunan dua tingkat telah dibina. Bilik guru yang sebelum ini dikongsi dengan SK Bengkongan telah dipindahkan ke tingkat atas bangunan yang baru dibina. Di samping itu, sekolah ini telah menerima kedatangan lima orang guru dan menjadikan jumlah tenaga pengajar pada waktu itu seramai 16 orang. Selain itu, bilik darjah juga telah ditambah menjadi sembilan buah kelas iaitu enam kelas untuk tingkatan satu dan tiga kelas untuk tingkatan dua bagi menampung 187 orang pelajar.

sekolah1

Bangunan dua tingkat yang dibina pada tahun 1998. Bilik pejabat dan bilik guru terletak di tingkat atas sementara tingkat bawah digunakan sebagai kelas mulai tahun 1999.

 

Sejak awal penubuhannya iaitu pada bulan Mac 1997 hinggalah akhir tahun 1998, SMK Bengkongan sememangnya serba kekurangan. Apatah lagi dengan status cawangan serta kewujudannya yang cuma menumpang di bangunan SK Bengkongan. Segala bahan pengajaran dan pembelajaran serta peralatan dibekalkan oleh SMK Kota Marudu dalam kuantiti yang terhad. Di samping itu, segala urusan yang berkaitan dengan urusan pentadbiran, akademik, kurikulum dan kokurikulum sekolah ini berpaksikan kepada SMK Kota Marudu. Walau bagaimanapun, SMK Bengkongan tetap mengorak langkah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik mahupun sahsiah sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Pada awal tahun 1999, SMK Bengkongan telah membuka satu lembaran sejarah yang baru kerana pada tahun inilah SMK Bengkongan telah mendapat mandat baru untuk mentadbir sendiri sekaligus berpisah dengan SMK Kota Marudu. Secara langsung sekolah ini bukan lagi cawangan SMK Kota Marudu. Ini bermakna SMK Bengkongan mempunyai struktur pentadbirannya sendiri tetapi masih lagi menumpang di bangunan SK Bengkongan dan nama sekolah ini kekal dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Bengkongan, Kota Marudu.

Pengetua pertama yang berkhidmat di sekolah ini ialah Encik Makibin Bin Bodok yang mula berkhidmat dari tahun 1999 hingga bulan September 2000. Jumlah tenaga pengajar pada waktu itu adalah seramai 23 orang serta mempunyai dua kakitangan bukan mengajar (KTBM). Pada tahun 1999, SMK Bengkongan telah menambah jumlah kelasnya menjadi 12 buah iaitu lima kelas tingkatan satu, empat kelas tingkatan dua dan tiga kelas tingkatan tiga. Buat julung kalinya SMK Bengkongan mempunyai calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mencatat keputusan yang agak membanggakan apabila mendapat 96.0 peratus kelulusan dalam PMR. Walaupun pada ketika itu, sekolah ini agak daif dalam serba-serbi namun di bawah pimpinan pengetua, Encik Makibin Bin Bodok, guru-guru mendapat semangat serta motivasi yang tinggi sekali. Pada tahun 2000, jumlah pelajar telah meningkat kepada 319 orang dan sekali lagi keputusan PMR mencatat kelulusan sebanyak 97.0 peratus.

 

Bangunan-bangunan SK Bengkongan yang digunakan untuk kelas pengajaran dan pembelajaran.

Pada bulan Ogos tahun 2000, warga SMK Bengkongan telah dikejutkan dengan satu berita iaitu kembalinya ke Rahmatullah pengetua sekolah ini. Kehilangan beliau menjadi tamparan hebat kepada guru-guru SMK Bengkongan. Ini kerana beliau merupakan seorang pengetua yang benar-benar memahami hati budi setiap stafnya. Sejak pemergian beliau, sekolah ini ditadbir oleh Penolong Kanan 1, Puan Suhaini Bte Sukarman. Walaupun kehilangan pengetua, guru-guru tidak pernah berputus asa dalam meneruskan perjuangan untuk mendidik  serta melahirkan pelajar yang cemerlang.